|
Oleh S.A Najmuddin
Kuala Lumpur -- Derita mangsa sindiket penyeludupan dadah antarabangsa, P. Jaya Kumar, 38 yang ditahan oleh pihak berkuasa di Buenos Aires, Argentina bakal berakhir kelak.
Ini kerana Pemuda UMNO menerusi Biro Aduan Komunitinya akan berusaha membawa pulang Jaya Kumar ke negara ini, tidak lama lagi. Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Mohd Khairun Aseh berkata rombongan pergerakan itu bersama seorang ahli keluarga Jaya Kumar akan ke Argentina pada 13 Disember ini untuk membawanya pulang.
Menurut beliau pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan mangsa yang terpedaya dengan sindiket penyeludupan dadah itu kembali meneruskan kehidupan seperti biasa di negara ini.
“Sindiket penyeludupan dadah kini dilihat mulai menggunakan pesakit mental sebagai mangsa mereka.
“Ini kerana mereka beranggapan, sekiranya mangsa ditahan, pesalah itu akan terlepas atas alasan mereka merupakan pesakit mental,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
P. Jaya Kumar, 38, terpedaya dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa, menyebabkan dia ditahan polis Argentina pada Jun lalu, selepas meninggalkan keluarganya sejak April.
Jaya Kumar, anak kesembilan dari 13 adik beradik menghidap penyakit chronic schizophrenia sejak berusia 20 tahun.
Dia kini ditempatkan di bawah perlindungan Kedutaan Malaysia di Argentina sebelum dibawa pulang pada 20 Disember depan.
Ekoran itu, kakanya P. Neelambigai, 52, tidak pernah tenteram kerana adiknya turut menghidap penyakit mental.
Khairun seterusnya berharap orang ramai berdoa agar usaha murni pergerakan itu akan membuahkan hasil dan berjalan lancar.
|