|
Oleh Haris Razali
Ipoh -- Pemuda UMNO Perak menyifatkan tindakan pemimpin bukan Islam pakatan pembangkang terutama dari DAP yang menghadiri atau menganjurkan program dan majlis yang berkaitan dengan Islam sebagai lakonan sandiwara semata-mata.
Ketuanya, Maslin Sham Razman berkata tindak-tanduk pemimpin pembangkang itu tidak lebih sekadar untuk memancing sokongan orang Melayu sahaja.
Jelas beliau pihaknya tidak terkejut jika ada pemimpin pakatan pembangkang terutama dari DAP yang sanggup masuk ke masjid, menganjurkan program berkhatan, bertakbir, membaca ayat-ayat Al Quran atau memakai kopiah putih kerana ia hanyalah untuk membeli hati orang Melayu semata-mata.
"Apa makna semua itu sekiranya mereka menolak negara Islam, menghalalkan penjualan arak, membuka ladang babi yang besar tanpa mengira sensitiviti orang Melayu. Malah pada satu ketika mereka juga mempertikaikan laungan azan.
"Ini semua lakonan sandiwara semata-mata. Kita nak ingatkan mereka orang Melayu bukan mudah untuk diperbodohkan", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindak tanduk pemimpin bukan Melayu pakatan pembangkang terutama dari DAP yang sejak kebelakangan ini cuba menonjolkan diri dengan menghadiri dan menganjurkan program yang berkaitan agama Islam.
Malah sebelum ini ada pemimpin tersebut yang membaca petikan ayat Al Quran, berceramah dalam masjid, menganjurkan program berkhatan dan bertakbir hari raya.
Maslin yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar seterusnya berkata pemimpin bukan Islam pakatan pembangang khususnya DAP terpaksa sanggup berbuat demikian kerana mahu menutup ketelanjuran mereka yang seringkali mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati orang Melayu.
"Mereka sudah berjaya mempergunakan Pas tapi mereka mahu pastikan sokongan orang Melayu tidak berubah bila sampai masa mereka tidak boleh lagi memperkudakan Pas untuk kepentingan mereka.
"Tindakan mereka umpan pepat di luar rencong di dalam. Hakikatnya mereka tidak ikhlas. Mereka ada agenda tersembunyi yang akan dapat dilihat selepas mereka berkuasa", ujarnya.
|