|
Oleh Adnil Mohd
Parit, 9 Feb – Pengerusi Biro Keahlian
dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO Malaysia, Hisamuddin Yahaya yakin pergerakan itu
mampu mencapai sasaran untuk mendaftarkan 120,000 belia di seluruh negara sebagai
pengundi baru menjelang akhir tahun ini.
Jelasnya berdasarkan kejayaan Pemuda mendaftarkan 27,000 ahlinya
sebagai pengundi tiga bulan lalu sasaran tahunan itu tidak mustahil untuk
dicapai.
“Ramai yang sedar tanggungjawab mengundi dan teruja untuk
mendaftar sebagai pemilih apabila menjelang usia 21 tahun.
“Jadi, sasaran kita untuk mendaftarkan 120,000 belia di seluruh
negara sebagai pengundi menjelang akhir tahun ini. Ia merupakan 60 peratus
daripada jumlah belia yang telah layak mengundi tetapi masih belum mendaftar
sebagai pemilih pada masa ini.
“Dengan pelbagai program dan aktiviti mendekati anak muda yang
sedang dan telah kita lakukan, kita percaya sasaran itu boleh kita capai,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian peralatan sukan
kepada Pemuda UMNO Zon Tiga Bahagian Parit di sini, semalam.
Tambahnya lagi, sejak program pendaftaran pengundi pergerakan itu dilancarkan pada
Oktober tahun lalu, pihaknya berjaya menjejaki dan mendaftarkan ahli sebagai pengundi.
Hisamuddin berkata, usaha ini bukan semata-mata politik, tetapi
menjadi tanggungjawab bersama untuk kita memupuk kesedaran di kalangan generasi
muda menjadi pengundi. Menanam kesedaran dan menggalakkan pendaftar pemilih
bukan tugas Suruhanjaya Pillihan Raya (SPR) saja.
"Kita
mahu menggandakan usaha kita. Justeru Untuk memberi rangsangan kepada biro di
setiap negeri, kami ada menyediakan hadiah sebanyak RM10,000 kepada negeri yang
paling banyak mendaftarkan anggota sebagai pengundi,“ ujarnya.
Jelas beliau bagi mencapai sasaran itu,
setiap cawangan dan bahagian diminta mengadakan pelbagai aktiviti yang sesuai
dengan generasi muda, yang secara tidak langsung memudahkan mereka mengesan
belia yang masih belum berdaftar sebagai pemilih.
|