Isu Semasa Pemuda: Hilang Arah Tuju, SHEB Bantu Golongan "Homeless"
Posted on Wednesday, March 03 @ 19:23:54 MYT
Topic: Berita / Isu Semasa




Oleh Kazman Kamal


Kuala Lumpur, 3 Mac – Pemuda UMNO hari ini melahirkan kekesalan terhadap sikap sesetengah majikan di negara ini yang lebih mengutamakan pekerja asing berbanding rakyat tempatan.


Malah menurut Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pemuda UMNO Malaysia, Tengku Azman Tengku Zainal Abidin, terdapat majikan yang memberi layanan berbeza kepada pekerja asing seperti kemudahan penginapan, gaji dan sebagainya.

Faktor tersebutlah, tambah beliau, antara yang menyumbang kepada kewujudan masalah golongan penganggur muda tidak berumah di bandar.

"Ramai di kalangan golongan muda yang berhijrah ke bandar hilang arah tuju sehingga terpaksa merempat di merata-rata tempat.  Mereka mahu bekerja tetapi karenah majikan membuatkan mereka kecewa.

"Selain termakan janji-janji kosong kawan, golongan ini sebenarnya sukar mendapat tempat bekerja kerana terdapat sesetengah majikan mengutamakan pekerja asing.  

"Sebagai contoh ada majikan yang hanya menyediakan tempat tinggal untuk pekerja asing.  Pekerja asing ini juga adakalanya ditawarkan gaji lebih tinggi dan pelbagai kemudahan lain yang tidak ditawarkan kepada warga tempatan. Keadaan ini perlu ditangani segera agar ia tidak menjadi lebih serius pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program “Pemuda Prihatin” di Ibu Pejabat Pemuda UMNO Malaysia di sini, hari ini.

Program tersebut adalah satu daripada inisiatif Pemuda UMNO bagi membantu golongan tidak berumah ini untuk pulang ke kampung masing-masing setelah hilang arah tuju ketika berada di bandar.

Malah ada di antara mereka yang kehabisan wang untuk meneruskan kehidupan di bandar.

Menurut Tengku Azman lagi, mereka yang dihantar pulang akan terus mendapat perhatian pihaknya menerusi rangkaian Pemuda di peringkat bahagian.

"Kita tidak sekadar menghantar mereka pulang tetapi kita akan terus membuat pemantauan dan membantu mereka di sana," ujarnya.

Justeru bagi mengelakkan golongan muda ini tertipu dengan tawaran pekerjaan oleh pihak-pihak tertentu, beliau berkata, SHEB telah menyediakan satu talian khas di Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO.

"Talian ini bagi memberi kemudahan golongan muda yang ingin berhijrah ke bandar memeriksa terlebih dahulu sama ada peluang pekerjaan yang ditawarkan benar-benar wujud atau tidak.

"Nombor talian tersebut ialah 03 62039853," ujarnya.

Pada masa yang sama beliau juga turut melahirkan kekesalan terhadap majikan yang tidak mahu menerima individu yang mempunyai rekod jenayah lampau untuk diambil bekerja.

"Sepatutnya golongan ini perlu diberi peluang kedua. Jika ini terus berlaku bagaimana individu terbabit mahu meneruskan kehidupan mereka.

"Justeru saya berharap dapat menyalurkan pandangan kita kepada pihak kerajaan agar perkara ini diberi perhatian," katanya.


 
· More about Berita / Isu Semasa
· News by admin


Most read story about Berita / Isu Semasa:
Pemuda, PPIM Edar Senarai Produk Belanda Untuk Diboikot



 Printer Friendly Printer Friendly




Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (UMNOYOUTH), Hakcipta Terpelihara.
All logos and trademarks in this site are property of their respective owner.
The comments are property of their posters, all the rest by Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia