|
Oleh S.A Najmuddin
Kuala Lumpur, 4 Februari - Krisis yang
melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini bakal memberi tempias kepada rakan
sekutunya dalam pakatan pembangkang, Dap dan Pas satu hari nanti dan tidak
mustahil menjadi ‘api dalam sekam’ kepada pakatan pembangkang berkenaan.
Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, berkata Konflik demi konflik, perbalahan demi perbalahan dan kontroversi demi
kontroversi yang melanda parti itu bakal mengheret rakan pembangkang yang lain
ke kancah berkenaan.
Menurut beliau,
tindakan parti pembangkang yang masih lagi memberi kepercayaan
kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Ketua pembangkang
walaupun kerusi parti itu di Parlimen berkurangan daripada sekutunya Dap akan
dipersoalkan rakyat pada satu hari nanti.
“Rakyat akan
tertanya-tanya. siapakah yang mempunyai kuasa dominan di kalangan pakatan
pembangkang apabila timbul sesuatu isu. Ini kerana Dap mempunyai 28 kerusi,
manakala PKR, 28 dan Pas 23, namun Anwar masih lagi Ketua Pembangkang.
“Sudah tentu
bukan PKR lagi yang mempunyai kuasa dominan kerana mereka tidak lagi mempunyai
majoriti di kalangan parti pembangkang setelah beberapa Ahli Parlimennya
mengambil tindakan keluar parti,” katanya.
Beliau berkata
demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas perkembangan yang berlaku di
dalam PKR setelah beberapa Ahli Parlimennya mengambil keputusan keluar parti.
Semalam, Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan
keluar daripada PKR
Pengumuman
terbaru daripada Mohsin Fadzli, 65, itu menjadikan tiga Ahli Parlimen PKR telah
keluar parti dalam tempoh kurang sebulan selepas Ahli Parlimen Bayan Baru,
Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada 12 Februari dan Ahli Parlimen Nibong
Tebal, Tan Tee Beng pada 1 Mac.
Turut berbuat
demikian pada 28 Februari lalu ialah bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau
Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang turut mengumumkan menyertai UMNO.
Dengan tindakan
terbaru itu, PKR kini mempunyai 28 Ahli Parlimen, DAP (28), Pas (23) dan Bebas
(enam). Barisan Nasional (BN) pula menguasai 137 daripada keseluruhan 222
kerusi di Dewan Rakyat.
Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN
seterusnya menegaskan, pembangkang sebenarnya tidak mempunyai pelan kepimpinan
yang menyebabkan mereka terus memberi kepercayaan kepada Anwar sebagai peneraju
kepimpinan pakatan pembangkang.
“Apa pun kita tunggu dan lihat perkembangan
terkini di dalam krisis kepimpinan di dalam pakatan pembangkang yang semakin
hari mengundang masalah,” katanya.
Terdahulu sebelum itu, Khairy menerima kunjungan
Pemuda PPP Kebangsaan yang diketuai oleh Sdr Jamaludin Gulamhan bersama Ahli
Jawatankuasa yang lain. Turut hadir, Setiausaha Pemuda BN, Datuk Megat Firdouz
Megat Junid dan Exco Pemuda BN yang lain.
Menurut khairy, pertemuan itu antara lain
membincangkan strategi serta beberapa perancangan serta pelaksanaan dalam usaha
mengukuhkan Pemuda BN berpaksikan semangat 1Malaysia, rakyat didahulukan,
pencapaian diutamakan.
“Pada kesempatan pertemuan hari ini, kita
melihat bagaimana Pemuda parti-parti komponen BN khususnya Pemuda PPP dalam
usaha memperkemaskan lagi Pemuda BN dalam pelbagai aspek terutama dari sudut
program dan pelbagai yang lain.
“Alhamdulillah, hari ini kita melihat komitmen
Pemuda PPP dalam membantu menjayakan program Pemuda BN terutama dari sudut
penambahan keahlian dan sebagainya. Selepas ini, kita akan bincang bagaimana
Pemuda PPP sebagai parti yang keahliannya terdiri daripada pelbagai kaum dapat
memainkan peranan di kawasan bandar. Inilah harapan kita kepada semua Pemuda
parti komponen yang lain,"katanya.
Pada masa yang sama, Khairy turut merakamkan
penghargaan kepada sayap Pemuda parti komponen yang tetap berdiri dan bersatu
padu di dalam Pemuda BN meskipun terdapat sesetengah parti induknya menghadapi
beberapa masalah.
“Dalam pertemuan dengan Pemuda PPP sebentar
tadi pun, kita telah mendapat persetujuan yang mana apa sahaja yang berlaku di
dalam parti induk, ianya tidak akan melibatkan Pemuda PPP.
“Malah kita penuh yakin, berdasarkan prinsip
ini, Pemuda BN tidak akan terjejas, sebaliknya akan terus kuat untuk membantu
dalam membela nasib rakyat pelbagai kaum,” katanya.
|