|
Oleh Adnil Mohd
Rembau, 9 Mac – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, berkata pembangkang khususnya PKR gagal menunaikan janjinya kepada rakyat kerana sibuk bermain retorik kosong.
Tegasnya pembangkang sepatutnya menumpukan perhatian terhadap janji-janji yang ditaburkan pada pilihan raya umum lalu yang kononnya mahu memastikan kesejahteraan rakyat.
Amatlah malang, katanya, apabila pembangkang hanya sibuk menumpukan isu-isu tidak memberi banyak faedah kepada kepentingan hidup rakyat, termasuklah cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.
“Rakyat sebenarnya mahu melihat pentadbiran kerajaan yang berkesan, bebas rasuah dan berupaya membawa pembangunan seperti dijanjikan selama ini.
“Tetapi pembangkang sibuk dengan bermain retorik. Kalau mereka tidak lupa mungkin mereka sebenarnya tak mampu melaksanakan janji-janji tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Berkelompok Sekolah-Sekolah Daerah Rembau di sini, semalam.
Majlis berkenaan di sempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Abdullah Muhammad.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau seterusnya berkata apa yang berlaku dalam pembangkang ketika ini terutama kekusutan yang melanda PKR memperlihatkan kerapuhan kredibiliti dan ketidakmampuan parti itu menunaikan janjinya kepada rakyat.
Oleh itu, jelas beliau, pembangkang terpaksa terus beretorik bagi mengalih pandangan rakyat termasuk cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.
"Apa yang dapat kita lihat analisis daripada akhbar dan badan berkecuali seperti ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan banyak janji pembangkang tidak dapat ditunaikan,'' ujarnya.
|