Kritik Dr Mahathir : Pemuda Sokong Kenyataan Hishammuddin
Date: Wednesday, June 01 @ 19:56:26 MYT
Topic: Berita / Isu Semasa


Oleh Kazman Kamal

Kuala Lumpur -- Pemuda UMNO hari ini menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ketua Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengecam budaya mengkritik pemimpin terdahulu yang dianggap sesuatu yang tidak seharusnya diamalkan.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata adalah sesuatu yang mendukacitakan jika terdapat pihak yang cuba mengambil peluang untuk membuat kritikan terhadap pemimpin yang tidak lagi memegang jawatan.

"Kita tidak mahu melihat budaya di mana apabila pemimpin itu tidak memegang lagi jawatan sudah menjadi peluang untuk kita mengkritik dan sebagainya. Sedangkan ketika orang itu menjadi pemimpin, kita membisu dan tidak buat apa-apa pendirian yang mengatakan itu salah dan ini salah.

"Ini perkara yang mendukacitakan kerana kita tahu semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, kita semua sokong dasar beliau untuk membangunkan Malaysia sebagai negara moden", katanya kepada laman webPemuda selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelancaran Putera UMNO di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengecam kritikan yang dilemparkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kononnya beliau tidak berbuat apa-apa untuk memerangi rasuah ketika menjadi Perdana Menteri.

Sambil menyatakan kritikan itu tidak tepat, Khairy berkata sepanjang 22 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau telah banyak membuat teguran dan mengambil tindakan untuk memerangi rasuah.

"Sepatutnya tidak ada pertikaian mengenai rekod beliau memerangi rasuah", tegasnya.

Sementara itu dalam isu yang sama Ketua Penerangan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Azimi Daim pula berpendapat kritikan yang dilemparkan terhadap Tun Dr Mahathir sebagai tidak berasas.

Menurutnya pengalaman selama empat tahun bersama Dr Mahathir dalam Majlis Tertinggi UMNO, beliau bukan sahaja serius memerangi rasuah dalam pentadbiran malah terhadap parti.

"Ini boleh dibuktikan menerusi tindakannya mewujudkan Lembaga Displin parti. Mereka yang buat kritikan terhadap Dr Mahathir jelas tidak membuat rujukan terlebih dahulu sebaliknya melemparkan kritikan mengikut citarasa sendiri", ujarnya.





This article comes from Laman Web Pemuda UMNO Malaysia
http://www.pemuda.com.my

The URL for this story is:
http://www.pemuda.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=4258