Taib Mahmud Letak Jawatan 28 Feb Ini, Adenan Satem Ketua Menteri Sarawak

Taib Mahmud Letak Jawatan 28 Feb Ini, Adenan Satem Ketua Menteri Sarawak

Taib Mahmud Letak Jawatan 28 Feb Ini, Adenan Satem Ketua Menteri Sarawak

KUCHING, 12  Feb – Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak berkuat kuasa 28 Feb dan akan digantikan oleh Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng hari ini.

Related: Pemuda UMNO Kedah Gesa SPRM Mulakan Siasatan Kes Balak Papua New Guinea

“Apabila saya memaklumkan kepada beliau (Tun Abang Muhammad Salahuddin) mengenai niat saya  (untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri), beliau tiada bantahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak itu di Astana Negeri di sini.

Beliau berkata nama Adenan yang juga anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dicadangkan kepada Tun Abang Muhammad Salahuddin dan beliau bersetuju dan majlis angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu akan diadakan pada 28 Feb.

“Adenan mewakili satu bentuk perjanjian antara tiga calon (yang disebut-sebut mengantikan Taib sebagai Ketua Menteri),” katanya.

Dua lagi calon ialah Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Taib berkata pemilihan Adenan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, sebagai penggantinya juga untuk memastikan Barisan Nasional negeri akan terus mengekalkan semangat berpasukan yang semakin utuh dalam kalangan mereka sejak beberapa tahun lepas.

Beliau yakin dengan dasar-dasar sedia ada yang telah dibangunkan bersama-sama dan pasukan pemimpin yang akan bekerja dengan Adenan, Sarawak akan mampu meneruskan momentum pembangunan pesat pada masa depan.

Related: Pemuda Perlu Tangkis Dakyah Pembangkang Putar Belit Isu Hak Sabah, Kata Salleh

Taib, yang telah memegang jawatan Ketua Menteri sejak 1981 berkata beliau juga akan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Balingian yang diwakilinya susulan peletakan jawatannya itu.

“Sebarang pilihan raya kecil selepas saya mengundurkan diri diserahkan untuk diputuskan oleh Ketua Menteri yang baharu (Adenan) dan mungkin ia akan menjadi tugas pertama beliau untuk merundingi semua rakan (parti-parti komponen) Barisan Nasional (mengenai) siapa yang akan mengisinya (kekosongan itu).

“Saya tidak ada siapa yang mahu dicalonkan sebagai pengganti saya dan untuk bersikap adil, saya serahkannya kepada Ketua Menteri (yang baharu),” katanya.

Add Comment